KUALA LUMPUR: Malaysia mengecam keras tindakan tentera Israel yang memintas flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menahan lebih 100 aktivis antarabangsa termasuk 16 rakyat Malaysia dalam insiden di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan tindakan rejim Zionis itu adalah perbuatan biadap yang sama sekali tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, tindakan menghalang misi kemanusiaan terbabit bukan sahaja melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah membuktikan sikap rakus Israel dalam menyekat bantuan serta membungkam suara kemanusiaan yang tampil mempertahankan rakyat Palestin.
“Dunia tidak boleh terus tunduk kepada kezaliman dan kebobrokan. Penindasan terhadap rakyat Palestin termasuk mereka yang membawa bantuan kemanusiaan mesti dihentikan segera.
“Israel juga perlu dipertanggungjawabkan atas tindakan zalim ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Terdahulu, lima kapal yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan dipintas tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Antara rakyat Malaysia yang ditahan ialah Zainal Rashid Ahmad di atas kapal Amanda; Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Nor Zahari yang menaiki kapal Cactus.
Turut berada dalam kumpulan aktivis yang ditahan ialah S Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar serta Syakirin Muhamed Senin yang menaiki kapal Furleto, selain Muhamad Muhsin Zaidi di atas kapal Isobella dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman atau Josef.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan kesemua rakyat Malaysia terbabit ditahan secara berperingkat antara jam 3 petang hingga 6 petang waktu Malaysia.










