Suspek Dakwa Pendam Rasa Terhadap Rakan Kerana Dibuli

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap kes seorang pelajar perempuan yang ditikam di sebuah sekolah di Banting setakat ini tidak menemukan bukti bahawa suspek benar-benar menjadi mangsa buli seperti yang didakwanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata walaupun suspek memberi alasan bertindak kerana menyimpan rasa tidak puas hati terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membulinya, hasil keterangan daripada individu yang dipanggil membantu siasatan tidak menyokong dakwaan tersebut.

Menurut beliau, siasatan masih berjalan dan polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Pada peringkat awal, suspek mendakwa dia memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah yang dikatakan membulinya. Namun, berdasarkan keterangan yang diperoleh setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan kejadian buli benar-benar berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, seperti dilaporkan Berita Harian.

Shazeli turut memaklumkan siasatan mendapati suspek dipercayai berdepan tekanan emosi dan kemungkinan mempunyai masalah keluarga, namun perkara itu masih dalam proses penilaian oleh pakar kaunseling.

Dalam kejadian pada pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau di kawasan sekolah.

Suspek kini direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

BBerkaitan

Latest articles