Suspek Bunuh Nur Farah Kartini Dibawa Ke Lokasi Mayat Dijumpai

KUALA LUMPUR: Suspek kes kematian Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke lokasi penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit di Sri Keledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Suspek yang disahkan anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Perak itu dibawa menaiki kereta jenis Proton Waja berwarna merah turut diiringi empat buah kenderaan lain.

Sepanjang kira-kira 15 minit di lokasi itu, suspek yang berbaju reman berwarna oren dilihat menunjukkan kawasan semak-samun berhampiran anak sungai dipercayai kawasan sebenar mayat Nur Farah Kartini ditemukan.

Terdahulu, awal hari ini, suspek yang berusia 26 tahun itu direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, bagi membantu siasatan kes kematian Nur Farah Kartini.

Ia ekoran penemuan mayat mangsa yang dipercayai dibunuh individu dikenalinya di ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira pukul 6 petang semalam.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

BBerkaitan

Latest articles