UiTM Siasat Dakwaan ‘Jual’ Bilik Asrama Di Puncak Alam

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor tidak memandang ringan dakwaan penjualan penempatan bilik di Kolej Kediaman Casuarina, Kampus Puncak Alam yang tular di media sosial.

Sehubungan itu, pengurusan kampus kini menjalankan siasatan bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan, selain mendapatkan maklumat berkaitan pihak yang didakwa terbabit.

UiTM Cawangan Selangor dalam kenyataan memaklumkan sebarang tindakan akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan serta peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa.

Pada masa sama, pihak universiti mengingatkan pelajar supaya tidak sesekali melakukan urusan jual beli, pemindahan atau pertukaran penempatan kolej kediaman dengan mana-mana pihak tanpa melalui saluran rasmi.

Menurutnya, semua urusan berkaitan penempatan hendaklah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan universiti bagi mengelakkan penyalahgunaan serta sebarang pertikaian.

Terdahulu, dakwaan mengenai penjualan penempatan bilik itu sebelum ini menjadi perhatian selepas ia tersebar di platform Threads, dengan dakwaan berlaku urusan menjual bilik di Kolej Kediaman Casuarina, Kampus Puncak Alam.

Pengurusan turut diminta setiap pihak berwaspada terhadap tawaran penempatan yang meragukan kerana urusan tidak rasmi bukan sahaja melanggar peraturan universiti, malah berpotensi mendedahkan mereka kepada penipuan.

“Mana-mana pelajar yang didapati terlibat dalam urusan yang melanggar peraturan universiti boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan kampus turut menyeru warga pelajar supaya bekerjasama memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan integriti komuniti kolej kediaman sentiasa terpelihara.

Sebarang maklumat berkaitan dakwaan berkenaan boleh disalurkan kepada UiTM Cawangan Selangor melalui saluran rasmi untuk membolehkan tindakan dan siasatan lanjut dijalankan.

BBerkaitan

Latest articles