KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat jelas bahawa UMNO kini bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), malah menyifatkan sudah tiba masanya pilihan raya berkenaan disegerakan.
Presiden UMNO itu berkata, pendirian tersebut bukan sekadar desakan atau harapan parti, sebaliknya didakwa mencerminkan kehendak rakyat yang mahukan perubahan.
“Justeru, telah tiba masanya PRU16 disegerakan. Ini bukan desakan, ini bukan harapan… ini kehendak rakyat.
“Cukup-cukuplah, bagi peluang kami pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO perlu berani mengambil pendirian tegas serta memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi gelanggang politik seterusnya.
“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang kita telah berlawan, kita lawan! Lawan sampai menang!” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan pengalaman UMNO selama lapan dekad telah membentuk parti itu dengan ‘DNA memimpin’, namun perjuangan parti tidak bermakna mengetepikan kepentingan kaum lain.
Katanya, UMNO kekal mempertahankan kepentingan orang Melayu dan keperibumian, pada masa sama memastikan hak serta kedudukan masyarakat pelbagai kaum terus dihormati.
Beliau berkata, pendekatan Barisan Nasional (BN) pula berasaskan prinsip kesederhanaan, keadilan dan perkongsian kuasa sebagai asas untuk mengurus kemajmukan rakyat Malaysia.
“Kita mahu orang Melayu kuat tanpa orang lain hidup dalam ketakutan. Kita mahu Islam terus dimartabatkan tanpa agama lain merasa terancam.
“Saya mahu UMNO dan BN menjadi induk kekuatan politik di negara ini, tetapi cukup besar jiwanya untuk kita sama-sama berkongsi kekuasaan,” katanya.










