Anwar Di Sabah, Isu MA63 Jadi Tumpuan

KOTA KINABALU: Isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi antara agenda utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerjanya ke Sabah hari ini.

Anwar tiba di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sekitar jam 8.30 pagi sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

Turut berada dalam mesyuarat itu ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pertemuan berkenaan menjadi medan untuk kepimpinan Kerajaan Persekutuan bersama Sabah dan Sarawak membincangkan perkembangan serta tindakan lanjut berkaitan pelaksanaan hak dan kepentingan kedua-dua wilayah berkenaan seperti termaktub dalam MA63.

Selepas urusan mesyuarat, Anwar dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Likas pada tengah hari sebelum meneruskan programnya dengan mengunjungi mangsa kebakaran Kampung Numbak.

Beliau dijangka tiba di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Damai sekitar jam 1.50 petang bagi melihat keadaan mangsa serta mendapatkan gambaran mengenai keperluan mereka selepas kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran yang berlaku pada 30 Ogos lalu memusnahkan kira-kira 200 rumah atas air di kampung berkenaan, selain mengorbankan tiga nyawa.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar malam tadi menegaskan Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan penting sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan serta memperkukuh hubungan antara wilayah.

Menurutnya, kesepakatan dan keyakinan yang terbina antara kerajaan Persekutuan dengan kedua-dua wilayah itu perlu terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semangat kebersamaan tersebut akan menjadi asas penting untuk menjamin kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

BBerkaitan

Latest articles