Sultan Selangor Hargai Najib, Puji Anwar Pastikan LRT3 Diteruskan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah projek Laluan LRT3 Shah Alam yang kini berjaya direalisasikan merupakan hasil kesinambungan usaha beberapa pentadbiran, sambil mendedahkan cadangan asal pembinaannya diterima tanpa ragu oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur itu dikemukakan kepada Najib ketika satu majlis berbuka puasa di kediaman bekas Perdana Menteri itu selepas menerima banyak aduan daripada rakyat berhubung kesesakan lalu lintas yang teruk, khususnya di Lebuhraya Persekutuan.

Menurut baginda, antara aduan yang sering diterima adalah daripada suri rumah yang memaklumkan suami mereka kerap pulang lewat akibat kesesakan, selain ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan yang merentasi Sungai Klang, sekali gus memburukkan lagi aliran trafik pada waktu puncak.

Baginda turut mengimbas bahawa pentadbiran Najib kemudian mengambil langkah segera dengan memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018 bagi membantu mengurangkan kesesakan.

Dalam titah perutusan sempena kejayaan pelaksanaan projek LRT3 pada Rabu, Sultan Sharafuddin turut menyentuh kelewatan projek itu selepas berlaku pertukaran kerajaan pada 2018.

Menurut baginda, projek berkenaan tergendala selama lebih 18 bulan sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan lagi susulan pandemik COVID-19.

Baginda juga bertitah bahawa ketika Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng bersama penasihatnya, Tony Pua, skop projek telah dikurangkan atas alasan ia merupakan projek mega.

Sultan Sharafuddin menegaskan tanggapan tersebut tidak tepat kerana LRT3 bukanlah projek untuk bermegah-megah, sebaliknya dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat Selangor.

Malah, baginda berkata saiz setiap stesen telah dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima stesen yang dicadangkan dalam jajaran asal turut dibatalkan ketika itu.

Bagaimanapun, baginda menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersetuju meneruskan projek berkenaan selepas mengambil alih pentadbiran negara.

Menurut baginda, Anwar bukan sahaja mengembalikan pembinaan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, malah turut merancang pembinaan rumah mampu milik berhampiran laluan dan stesen LRT3 bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.

Baginda turut memuji tindakan Perdana Menteri yang mengarahkan supaya tiada lagi sebarang halangan mengganggu pelaksanaan projek tersebut.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berharap LRT3 mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya selain menyediakan pilihan pengangkutan awam yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada penduduk Klang, Shah Alam serta mereka yang berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Baginda turut mengingatkan Prasarana supaya memastikan penyelenggaraan laluan itu dilaksanakan dengan baik agar operasi LRT3 sentiasa lancar dan selamat.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin menegaskan kejayaan pelaksanaan LRT3 tidak seharusnya dikreditkan kepada mana-mana pihak secara bersendirian kerana projek itu merupakan hasil perancangan, komitmen dan kerjasama beberapa pentadbiran yang diteruskan secara berperingkat demi kepentingan rakyat.

Baginda berharap kemudahan infrastruktur baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai antara pusat pertumbuhan utama negara.

BBerkaitan

Latest articles