Sukatan Kurikulum Kita Setanding Negara Maju – Fadhlina Sidek

Kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain seperti Singapura, Jepun, Australia, United Kingdom dan Finland, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan kajian perbandingan kurikulum persekolahan di negara ini dengan negara lain.

“Proses semakan kurikulum menunjukkan bahawa kurikulum persekolahan di Malaysia setanding dengan kurikulum negara lain.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mahu Kerajaan menjelaskan tentang langkah-langkah yang telah diambil berkaitan ketidaksesuaian kurikulum tahap satu dengan usia murid seperti rintihan ibu bapa mereka.

“Bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan, KPM terbuka mendengar pandangan pelbagai pihak dan komited untuk melaksanakan penambahbaikan pelaksanaan kurikulum,” tambahnya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Menyentuh isu kurikulum tahap satu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata KPM sentiasa berusaha memastikan pendidikan murid diberi keutamaan dengan melaksanakan kurikulum yang relevan dengan keperluan pembelajaran murid mengikut usia.

“Matlamat kurikulum sekolah rendah terutama pada Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) adalah untuk memupuk perkembangan fizikal, kognitif, mental, emosi, sosial, rohani, sikap dan nilai.”

“Fokus kurikulum Tahap I adalah untuk penguasaan kemahiran 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul), kemahiran asas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), kreatif dan inovatif,” ujarnya.

Terdahulu, timbul polemik apabila tahap silibus mata pelajaran untuk murid tahap satu disifatkan terlalu tinggi berbanding usia mereka hingga ramai pihak mendesak KPM mengkaji semula isu tersebut.

Latest articles

Related articles

spot_img