KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu segera menjalankan siasatan berhubung pendedahan dokumen pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan di Facebook.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua sudah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung pendedahan dokumen berkenaan.
Beliau berkata, persoalan itu dibangkitkan susulan jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin bahawa tanggungjawab menyiasat isu berkenaan terletak di bawah KDN.
“Pagi ini saya bangun di Dewan Rakyat bertanya kepada PMX berhubung dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
“Bagaimanakah proses penyahrahsiaan dokumen tersebut berlaku? Adakah ia mengikut tatacara dan peruntukan undang-undang?” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurutnya, persoalan lebih besar ialah bagaimana individu di luar pentadbiran kerajaan boleh memperoleh dokumen berkenaan sebelum menyiarkannya di Facebook.
“PMX menjawab bahawa menjadi tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat.
“Nah, sekarang bola di kaki KDN. Sudahkah Tony Pua dipanggil untuk memberikan keterangan? Jika belum, apa masalahnya?” katanya.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan sama ada KDN berdepan kesukaran mengesan Tony Pua bagi membantu siasatan.
“Tak jumpa Tony Pua? Tak tahu alamatnya? Atau perlu Tony Pua sendiri datang mengetuk pintu pejabat KDN untuk memudahkan siasatan?” katanya.
Beliau turut mendakwa akaun Facebook yang menyiarkan dokumen itu sudah dikenal pasti dan mempersoalkan apa lagi yang diperlukan untuk memulakan siasatan.
“Atau KDN perlu tunggu sehingga kami menjadi kerajaan, barulah Tony Pua boleh dijumpai?” katanya.










