More

    Sudah-sudahlah Dengan Politik, Isu Rakyat Dan Negara Lebih Penting

    Banyak pihak menyuarakan kegusaran terhadap nasib rakyat dan negara ini susulan pertelingkahan politik yang tiada henti sejak kebelakangan ini.

    Apatah lagi dengan gesaan menyegerakan pilihan raya umum sedangkan rakyat masih terhimpit dengan kesan pandemik COVID-19 dan ditambah lagi dengan tragedi banjir di beberapa buah negeri.

    Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa gencatan politik dengan pemimpin memberi tumpuan kepada masalah rakyat.

    Kepada mereka, isu rakyat tetap perlu diberi keutamaan dan bukannya agenda politik parti yang memberikan keuntungan kepada pihak tertentu saja.

    Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) Shahbudin Embun berkata, sejak beberapa minggu ini, rakyat disajikan dengan pelbagai topik mengenai parti ketika negara berdepan peningkatan kes positif Covid-19.

    Katanya, ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi pada masa sama, beberapa negeri teruk dilanda banjir yang menjejaskan ribuan keluarga.

    “Saya rasa elok berhenti dulu daripada bercakap apa parti ini mahu, apa parti ini hendak. Di luar sana ada pelbagai masalah rakyat yang perlu diselesaikan semua parti politik.

    “Sebaiknya perbezaan yang ada itu diketepikan dulu. Parti politik sepatutnya menjadi ejen penyatuan, bukan perpecahan seperti sekarang,” katanya.

    Begitu juga dengan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang meminta supaya politiking dihentikan sebaliknya semua usaha ditumpukan untuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

    Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hami berkata, senarai isu rakyat amat panjang termasuklah kesihatan, tekanan ekonomi, kos sara hidup dan kualiti alam sekitar yang perlu diberikan perhatian.

    “Kita masih bertuah kerana rakyat negara ini tidak berbudaya seperti sesetengah negara lain yang berdemonstrasi menuntut perubahan kerajaan seperti di Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat,” katanya.

    Sementara itu Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) turut meminta percakaran politik dihentikan segera kerana ia hanya memberi kelebihan kepada pihak.

    “Permas juga bersama ahli gabungan di seluruh negara menggesa isu ini diberi perhatian kerana rakyat sedang susah dan mengharapkan bantuan daripada pihak berkuasa,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini