KUALA LUMPUR: Taktik menyembelih haiwan menggunakan kaedah renjatan elektrik sebelum dipotong, selain menarik kepala ayam dan terus memenggalnya tanpa sembelihan sebenar, terbongkar menerusi serbuan terhadap lapan pusat penyembelihan haram di lima negeri.
Operasi bersepadu menerusi Op Salju yang berlangsung dari 9 hingga 22 November lalu itu turut mendedahkan kegiatan pemprosesan haiwan yang tidak mematuhi syarak dan menimbulkan keraguan terhadap status halal produk yang dipasarkan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lapan premis terbabit dikesan melakukan kaedah penyembelihan yang meragukan hasil risikan dan pemeriksaan pihak berkuasa.
“Premis-premis ini dikesan melakukan penyembelihan yang tidak betul dan diragui, iaitu disyaki menggunakan kaedah renjatan elektrik sebelum disembelih.
“Terdapat juga situasi di mana kepala ayam ditarik dan terus dipotong tanpa melalui proses sembelihan sebenar,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Daripada lapan premis yang diserbu, tiga beroperasi di Selangor, dua di Johor, manakala masing-masing satu di Pahang, Sabah dan Perak.
Empat premis dikenal pasti dimiliki individu bukan Islam, masing-masing di Chini, Pahang; Muar, Johor; Jalan Meru, Klang, Selangor dan Teluk Intan, Perak.
Baki empat premis pula dimiliki individu beragama Islam yang beroperasi di Kajang dan Klang, Selangor; Sandakan, Sabah serta Pekan Nenas, Johor.
Menurut Mohd Yusri, kegiatan itu dipercayai telah beroperasi antara dua bulan hingga empat tahun, sejak 2022 hingga 2026, dengan setiap premis mampu memperoleh keuntungan harian antara RM1,500 hingga RM10,000.
Serbuan terhadap lapan pusat penyembelihan itu membawa kepada penahanan 55 pekerja, selain rampasan barangan bernilai RM2.4 juta.
Sementara itu, beliau berkata Op Salju 1/2026 yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama sembilan agensi penguat kuasa lain berjaya memeriksa 68 premis di 13 negeri, termasuk pasar raya, kilang, stor dan pusat penyembelihan.
Operasi yang digerakkan dengan kekuatan 745 anggota pelbagai agensi itu turut menyaksikan rampasan pelbagai produk sejuk beku, makanan, bahan mentah dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM32.5 juta.
Seramai 96 individu berusia antara 14 hingga 73 tahun ditahan, terdiri daripada 41 warga tempatan dan 55 warga asing.
Mohd Yusri berkata, tindakan bersepadu itu bertujuan membanteras sindiket pengedaran makanan secara haram, memutuskan rantaian penyembelihan yang melanggar syarak serta memastikan pengguna Islam tidak terdedah kepada produk yang diragui status halal, kebersihan dan keselamatannya.










