Sudah-sudahlah Buat Kenyataan Berapi, Nur Jazlan Ingatkan Pemimpin PH

KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membuat kenyataan yang mungkin boleh menjejaskan kerajaan gabungan bersama Barisan Nasional (BN) perlu dihentikan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata sudah tamat tempohnya untuk mengeluarkan kenyataan retorik, apatah lagi rakyat sudah menyuarakannya melalui peti undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) minggu lalu

“Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, memberi peringatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tidak melantik Ahli Parlimen yang sedang berdepan kes mahkamah dalam Kabinetnya.

“Saya ingin mengingatkan mereka bahawa undang-undang Malaysia yang diwarisi dari United Kingdom (UK) yang mana seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, Nur Jazlan berkata, peranan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dilupakan, memandangkan beliau meletakkan negara sebagai keutamaan bagi memastikan Malaysia memiliki kerajaan yang stabil.

“Ahmad Zahid tidak menyalahkan Anwar, mahupun PH di atas tuduhan liar dan tohmahan terhadap BN sepanjang tempoh berkempen PRU15.

“Jadi, PH patut membalas kesungguhan Ahmad Zahid dengan menunjukkan niat ikhlas untuk menjadikan kerajaan ini stabil dan bebas daripada politik serta kritikan yang tidak perlu,” katanya.

Bukan itu sahaja bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu juga mengingatkan bahawa mereka yang dibicarakan perlu diadili di mahkamah, bukan menerusi persepsi umum.

Justeru, katanya pemimpin PH tidak seharusnya menjadi rabun dan mengabaikan standard antarabangsa berkaitan hak asasi manusia, secara tidak langsung meletakkan kerajaan Anwar dalam risiko.

“Tiada mana-mana parti atau gabungan memperoleh majoriti untuk menerajui kerajaan. Namun, Pengerusi BN (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) berbesar hati mengubah pendiriannya atas nasihat Yang di-Pertuan Agong dan menyatukan Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Tiada pra-syarat ditetapkan mana-mana gabungan termasuk Anwar, mengenai siapa yang berhak berkhidmat dalam Kabinet atau sebaliknya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles