Suspek Serangan Di Balai Polis Ulu Tiram Bukan Ahli JI

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini mengesahkan suspek yang telah ditembak mati dalam insiden serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada Jumaat lalu didapati bukan anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

Sebaliknya, lelaki berusia 21 tahun itu pada awalnya disyaki mempunyai kaitan dengan JI berdasarkan pembabitan bapanya yang juga bekas ahli kumpulan berkenaan.

“Suspek yang ditembak mati itu didapati tiada kaitan dengan kumpulan pengganas JI,” katanya ringkas memetik laporan Malaysia Gazette.

Terdahulu pada sidang media pagi tadi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, suspek yang ditembak mati dalam serangan itu didapati bertindak secara bersendirian dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal polis.

Selain itu, Razarudin turut mengesahkan petang tadi tiada rakyat Singapura yang ditahan dalam kalangan tujuh suspek yang direman seminggu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Razarudin berkata demikian sebagai menafikan laporan awal media yang mendakwa kononnya terdapat rakyat Singapura dalam kalangan tujuh suspek yang turut terdiri daripada lima ahli keluarga suspek bersenjata parang dan pistol yang ditembak mati dalam kejadian jam 2.15 pagi itu.

BBerkaitan

Latest articles