KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli selesai menjalani sesi rakaman percakapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, selepas empat hari berturut-turut memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya.
Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dipanggil membantu siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan itu berkait dengan kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, sesi rakaman percakapan hari keempat yang bermula kira-kira pukul 10 pagi berakhir sekitar 4.30 petang.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan terhadap Rafizi dan bekas pembantunya, James Chai, kini berada di peringkat akhir.
Menurut beliau, hanya dua lagi saksi masih belum dirakam keterangan, masing-masing melibatkan seorang individu di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.
Azam berkata, sebaik sahaja keterangan terakhir diperoleh, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menjelaskan kes berkenaan disiasat mengikut elemen penyalahgunaan kuasa, penipuan serta pecah amanah jenayah.
Tambahnya, pegawai penyiasat sudah mengenal pasti dua individu yang berkemungkinan berdepan pertuduhan, namun keputusan akhir sama ada pendakwaan dibuat terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
Kertas siasatan kes itu dibuka pada 16 Februari lalu susulan aduan dikemukakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).










