SPRM Jejak Dokumen eFishery Di Tiga Negara, Fokus Proses MLA Di Dubai, Singapura, Indonesia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti Dubai, Singapura dan Indonesia sebagai tiga negara utama yang menjadi fokus bagi mendapatkan dokumen penting menerusi proses Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance, MLA) dalam siasatan berhubung pelaburan RM200 juta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ke dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya percaya terdapat dokumen berkaitan pelaburan berkenaan yang berada di luar negara dan usaha mendapatkan dokumen tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara menerusi proses MLA.

Menurut beliau, setakat ini SPRM hanya meneliti dokumen yang diperoleh daripada KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF), namun siasatan memerlukan akses kepada dokumen yang dipercayai disimpan di luar negara.

“Negara yang dikenal pasti bagi tujuan MLA ialah Dubai, Singapura dan Indonesia. Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara untuk memastikan proses itu dapat dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Sekretariat Ke-22 ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC), hari ini.

Abd Halim memaklumkan siasatan yang bermula secara rasmi pada 17 Julai lalu berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Sehingga kini, katanya, SPRM telah merakam keterangan 20 saksi yang terdiri daripada pegawai KWAP, pegawai MOF, anggota Jawatankuasa Pelaburan KWAP serta ahli panel pelaburan.

Dalam perkembangan sama, SPRM turut mendapatkan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengesan aliran kewangan yang berkaitan dengan siasatan tersebut.

Beliau berkata, surat rasmi telah dihantar kepada BNM bagi mendapatkan maklumat melalui Egmont Group of Financial Intelligence Units untuk mengesan kedudukan kewangan dua syarikat di Indonesia dan sebuah syarikat di Singapura.

Selain itu, SPRM turut memohon BNM menjalankan semakan terhadap Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) bagi mengenal pasti kedudukan kewangan individu serta pihak yang mempunyai kaitan dengan siasatan.

Menurut Abd Halim, proses MLA dijangka mengambil tempoh lebih panjang berikutan melibatkan bidang kuasa beberapa negara serta memerlukan kerjasama pihak berkuasa asing.

Beliau berkata, proses itu juga merangkumi usaha mendapatkan keterangan saksi di luar negara bagi melengkapkan siasatan terhadap pelaburan KWAP dalam eFishery.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM membuka siasatan berhubung pelaburan RM200 juta KWAP dalam eFishery dan telah memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles