SPR Tetapkan PRU Johor 11 Julai, N. Sembilan 1 Ogos


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-16 pada 11 Julai 2026, manakala bagi Dewan Negeri Sembilan ke-16 pula pada 1 Ogos 2026.

​Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun manakala hari pengundian awal pula pada 7 Julai.

​Bagi PRN Negeri Sembilan, beliau mengumumkan hari penamaan calon adalah pada 18 Julai, diikuti hari pengundian awal pada 28 Julai.

“Tarikh pengeluaran writ pilihan raya bagi kedua-dua negeri adalah berkuat kuasa hari ini (12 Jun),” katanya.

​Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri bagi kedua-dua negeri itu di Menara SPR di sini hari ini.

​Menurutnya, mesyuarat tersebut diadakan susulan penerimaan pemberitahuan rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 2 Jun berhubung pembubaran Dewan Negeri Johor ke-15, serta pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri, Negeri Sembilan pada 5 Jun mengenai pembubaran Dewan Negeri, Negeri Sembilan ke-15.

​Mengenai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan, Ramlan berkata PRN Johor akan menggunakan daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan April 2026 yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026, melibatkan seramai 2,777,926 orang pemilih.

​”Jumlah itu terdiri daripada 2,753,175 orang pemilih biasa, 12,041 orang anggota tentera serta pasangan, dan 12,710 orang anggota polis serta Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

​Bagi PRN Negeri Sembilan pula, daftar pemilih yang digunakan adalah sehingga daftar pemilih tambahan April 2026 yang dikemas kini sehingga 4 Jun 2026, merangkumi seramai 889,490 orang pemilih (terdiri daripada 867,151 pemilih biasa, 16,884 tentera serta pasangan, dan 5,455 polis).

​Bagi kelancaran proses pilihan raya, SPR melantik 56 orang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 187 penolong pegawai bagi Johor, manakala lapan (8) Pegawai Pengurus dibantu 95 penolong pegawai dilantik bagi Negeri Sembilan.

​Selain itu, sebanyak 56 Pasukan Penguatkuasa Aktiviti Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) akan ditubuhkan di Johor dan 36 pasukan di Negeri Sembilan, yang turut dianggotai oleh wakil calon, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen.

​Mengenai urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, permohonan bagi PRN Johor telah dibuka sejak 5 Jun lalu. Tarikh tutup kategori 1A (petugas, SPR, polis, tentera, media) adalah pada 24 Jun, manakala kategori 1B (warganegara di luar negara) dan 1C (agensi/organisasi) pada 19 Jun.

​Bagi PRN Negeri Sembilan pula, permohonan undi pos dibuka bermula hari ini (12 Jun) dengan tarikh tutup bagi kategori 1A pada 15 Jun, manakala kategori 1B dan 1C ditutup pada 10 Jun.

BBerkaitan

Latest articles