Abdul Aziz Kini Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR: Pengalaman luas dalam pelbagai cabang kepolisan menjadi sandaran pelantikan Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, berkuat kuasa 9 September lalu.

Abdul Aziz, 59, yang sebelum ini menerajui Jabatan Pengurusan Bukit Aman, mengambil alih jawatan berkenaan selepas persaraan wajib Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pelantikan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, berdasarkan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

Katanya, pelantikan berkenaan dibuat mengikut Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

“Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan,” katanya dalam kenyataan.

Anak kelahiran Penaga, Pulau Pinang itu menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995, sebelum membina kerjaya menerusi pelbagai jawatan strategik dalam pasukan.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Antara pengalaman penting Abdul Aziz termasuk mengetuai Jabatan Pengurusan Bukit Aman, selain pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik dan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang.

BBerkaitan

Latest articles