SEREMBAN: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak pernah terlucut, malah Proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang didakwa menurunkan baginda adalah cacat dan tidak sah dari sudut Perlembagaan negeri.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, berkata dakwaan berhubung penurunan takhta itu tidak mempunyai asas kerana tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi tersebut didakwa bukan pemegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing pada tarikh berkenaan.
Lebih penting, katanya, Perkara 10(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 menetapkan proses yang wajib dipatuhi sebelum seseorang Undang boleh menyeru Yang di-Pertuan Besar berundur atau melepaskan jawatan.
“Undang hanya boleh menyeru Duli Yang Maha Mulia berundur atau melepaskan jawatan selepas siasatan yang penuh dan lengkap dilaksanakan.
“Syarat itu adalah mandatori. Namun, tiada siasatan pernah dilaksanakan, tiada perkara dibawa ke hadapan Dewan dan Duli Yang Maha Mulia juga tidak pernah diberikan notis atau peluang untuk didengar,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Khas DKU di Seri Menanti, Kuala Pilah, semalam.
Raja Norazli berkata, keadaan itu menjadikan Proklamasi 19 April 2026 sebagai dokumen yang cacat sejak dari awal.
Beliau berkata, keadaan tersebut turut menjadi asas kepada keengganan Menteri Besar ketika itu menandatangani proklamasi berkenaan pada 20 April 2026, selaras dengan Perkara 10(2) UUTKNS 1959.
Katanya, Menteri Besar pada ketika itu menolak untuk menandatangani dokumen berkenaan atas alasan syarat di bawah Perkara 10 tidak dipenuhi, selain terdapat individu yang menandatangani proklamasi bukan seorang Undang.
“Dengan keengganan itu, fungsi Menteri Besar di bawah Perkara 10(2) UUTKNS 1959 telah pun dilaksanakan dan dengan itu proklamasi itu luput dan terbatal,” katanya.
Raja Norazli berkata, cubaan menandatangani semula proklamasi sama oleh Menteri Besar baharu pada 3 Ogos lalu juga tidak mengembalikan kesahihan dokumen berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu tidak boleh dianggap sebagai usaha memperbaharui atau menghidupkan semula proklamasi yang telah luput.
“Menteri Besar baharu tidak boleh melaksanakan semula suatu fungsi yang sudah dilaksanakan.
“Jika tidak, setiap pertukaran Menteri Besar akan menghidupkan semula proklamasi yang sama dan perkara itu tidak akan berkesudahan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada siasatan yang memenuhi kehendak Perkara 10 UUTKNS 1959 pernah dijalankan berhubung perkara tersebut.
Mengulas kenyataan media Undang pada 5 September serta sidang media kumpulan berkenaan pada 8 September lalu, Raja Norazli berkata, kedua-duanya tidak mengubah kedudukan undang-undang kerana bersandarkan kepada Proklamasi 19 April yang didakwa telah cacat dan luput.
Sehubungan itu, Raja Norazli menegaskan DKU terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan berkenaan.
“Baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan (DKU).
“Dewan tidak mengiktiraf apa-apa kekosongan dan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan itu,” katanya.
Menurutnya, selagi jawatan berkenaan dipegang secara sah, tidak boleh wujud pengganti untuk menjalankan kuasa yang sama.
“Seseorang yang tidak memegang jawatan tidak boleh menjalankan kuasa jawatan itu,” katanya.
Beliau berkata, apa-apa tindakan yang dilakukan atas nama jawatan yang tidak dipegang secara sah tidak mempunyai kesan dari sudut adat.
Dalam perkembangan sama, Raja Norazli memaklumkan jawatan Undang Luak Sungei Ujong kini disandang Dato’ Klana Petra Muhammad Faris Johari, manakala Undang Luak Rembau ialah Dato’ Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Dato’ Haji Muhammed Abdullah.
Jawatan Undang Luak Jelebu dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong pula, katanya, masih kosong.
Raja Norazli turut mendakwa tindakan enam individu menandatangani dokumen bertarikh 5 September lalu sebagai “derhaka” di sisi adat dan undang-undang.










