KUALA LUMPUR: Kerugian sesuatu pelaburan kerajaan tidak seharusnya secara automatik dijadikan asas untuk mendakwa seorang Menteri melakukan kesalahan jenayah, tegas Setiausaha Penerangan UMNO, Datuk Suraya Yaacob.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan perlu dilihat dari sudut prinsip undang-undang yang lebih besar, khususnya berkaitan unsur ketidakjujuran atau dishonesty.
Katanya, persoalan utama yang perlu dijawab bukan sekadar sama ada Jamil Khir memberikan kelulusan terhadap sesuatu pelaburan yang kemudiannya mengalami kerugian, sebaliknya sama ada wujud bukti beliau mempunyai niat tidak jujur ketika keputusan itu dibuat.
“Pelaburan dibuat, Menteri tandatangan, kemudian pelaburan rugi dan Menteri dianggap melakukan jenayah. Itu bukan standard yang sepatutnya digunakan dalam undang-undang jenayah.
“Seksyen 403 bukan kesalahan kerana membuat keputusan yang akhirnya salah. Ia memerlukan unsur dishonesty dan bukti bahawa pada ketika keputusan dibuat, wujud niat tidak jujur untuk menyebabkan keuntungan atau kerugian secara salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suraya berkata, keputusan pelaburan Tabung Haji juga tidak dibuat secara bersendirian oleh Menteri kerana sesuatu cadangan lazimnya melalui beberapa peringkat penilaian sebelum sampai ke peringkat kelulusan.
Menurutnya, proses berkenaan membabitkan pengurusan, penilaian profesional, jawatankuasa pelaburan, Panel Pelaburan serta Lembaga Tabung Haji sebelum Menteri memberikan kelulusan dalam kapasiti yang diperuntukkan undang-undang.
Justeru, katanya, kerugian yang hanya diketahui beberapa tahun selepas sesuatu keputusan dibuat tidak wajar digunakan secara automatik untuk membentuk gambaran bahawa wujud niat jahat ketika keputusan asal dibuat.
“Investment risk is not criminal intent. Kerugian pelaburan tidak boleh dengan sendirinya menjadi bukti niat jenayah,” katanya.
Suraya memberi amaran bahawa pendekatan sedemikian sekiranya dijadikan prinsip boleh memberi kesan besar kepada keberanian pemimpin membuat keputusan, khususnya dalam perkara membabitkan pelaburan dan keputusan komersial kerajaan.
Katanya, jika setiap keputusan yang akhirnya tidak membuahkan hasil boleh membawa kepada pertuduhan jenayah bertahun-tahun kemudian, keadaan itu berpotensi mewujudkan budaya pentadbiran yang terlalu takut mengambil risiko.
“Bayangkan seorang Menteri menerima cadangan pelaburan yang disokong pegawai profesional, jawatankuasa pelaburan dan Lembaga. Pada ketika itu, semua data menunjukkan pelaburan berkenaan munasabah.
“Namun lima tahun kemudian pasaran berubah, syarikat gagal dan pelaburan mengalami kerugian. Adakah Menteri itu boleh dituduh melakukan criminal misappropriation hanya kerana tandatangannya berada pada dokumen terakhir?” soalnya.
Dalam pada itu, Suraya menegaskan prinsip sama perlu diterapkan secara konsisten kepada semua pemegang jawatan, tanpa mengira kedudukan politik atau individu yang terlibat.
Beliau merujuk kontroversi pelaburan KWAP dalam eFishery dan berkata, prinsip bahawa kerugian pelaburan tidak semestinya membuktikan rasuah atau jenayah perlu diterima secara menyeluruh.
“Struktur KWAP dan Tabung Haji mungkin tidak sama, tetapi prinsip keadilannya tetap sama.
“Kalau sebuah pelaburan di bawah institusi kerajaan boleh mengalami kerugian tanpa menjadikan Menteri Kewangan seorang penjenayah, prinsip yang sama mesti diberikan kepada Menteri lain,” katanya.
Bagaimanapun, Suraya berkata, sekiranya pendakwaan mempunyai bukti Jamil Khir memperoleh keuntungan peribadi, menyembunyikan fakta penting, mengarahkan pelaburan demi kepentingan pihak tertentu atau mengetahui sesuatu transaksi itu bermasalah tetapi tetap memaksanya diteruskan, perkara tersebut perlu dibuktikan di mahkamah.
“Itu perkara lain. Tetapi jika asas pertuduhan hanya kerana beliau berada di penghujung proses kelulusan dan pelaburan itu kemudian rugi, kita sedang membuka satu precedent yang sangat berbahaya.
“Hari ini Jamil Khir, esok mungkin Menteri Kewangan, lusa Perdana Menteri dan selepas itu mana-mana Menteri yang pernah meluluskan projek, pelaburan, jaminan atau keputusan komersial kerajaan yang tidak menjadi seperti dirancang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan isu berkenaan bukan soal sama ada seseorang menyokong atau tidak menyokong Jamil Khir, tetapi mengenai standard undang-undang yang mahu ditetapkan untuk semua Menteri pada masa hadapan.
“Kalau ada dishonesty, buktikan dishonesty. Kalau ada manfaat peribadi, buktikan manfaat peribadi. Kalau ada arahan tidak sah, buktikan arahan itu.
“Tetapi jangan jadikan kerugian pelaburan sebagai pengganti kepada bukti niat jenayah,” katanya.










