Speaker Tandatangan Notis Pembubaran DUN N. Sembilan, Serah Pada SPR

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk M K Ibrahim Abd Rahman, mengesahkan beliau telah menandatangani notis pembubaran DUN pagi ini untuk diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

​Pengesahan tersebut dimaklumkan oleh beliau sendiri menerusi satu hantaran di akaun media sosial rasmi miliknya, sekali gus menandakan proses rasmi bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan tetap berjalan.

​”Pagi ini 5.6.2026 saya telah menandatangani notis pembubaran DUN Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada SPR,” katanya.

​Langkah berkenaan dibuat di tengah-tengah kontroversi perlembagaan apabila institusi tradisional tertinggi negeri, merangkumi Undang Yang Empat Negeri Sembilan dan Tengku Besar Tampin, bertindak memfailkan bantahan rasmi dan keras terhadap pengumuman pembubaran terbabit.

​Bantahan undang-undang bertanda ‘SEGERA’ itu dikemukakan melalui firma guaman Tetuan Deidra Sharina & Co. Advocates & Solicitors yang dialamatkan secara langsung kepada Speaker DUN hari ini.

​Menerusi dokumen bantahan terbabit, pihak firma guaman menegaskan bahawa anak-anak guam mereka bertindak sepenuhnya atas kapasiti sebagai Pemerintah Tradisional Negeri Sembilan dan bukannya sebagai wakil rakyat.

​Pihak peguam menjelaskan, tindakan itu diambil susulan pengumuman pembubaran DUN oleh Menteri Besar Negeri Sembilan pada 4 Jun 2026, kira-kira jam 11 malam, yang didakwa dibuat tanpa sebarang rundingan mahupun persetujuan yang dimohon daripada anak-anak guam mereka.

​Firma guaman terbabit menyifatkan tindakan mengetepikan institusi pemerintah tradisional itu sebagai suatu pelanggaran yang nyata terhadap peruntukan-peruntukan utama di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, khususnya Fasal 56(2), Fasal 38(4), serta Fasal 28(1) dan (2).

​”Oleh itu, sekiranya pembubaran DUN diteruskan, ia akan menimbulkan pelbagai implikasi undang-undang termasuklah melibatkan isu keabsahan keputusan pilihan raya dan sebagainya,” menurut kandungan surat yang ditandatangani oleh wakil Tetuan Deidra Sharina & Co. itu.

​Rentetan perkembangan terbaharu ini, tumpuan kini terarah kepada pihak SPR berhubung tindakan lanjut yang akan diambil bagi menetapkan tarikh PRN, selain meneliti implikasi perundangan yang digariskan oleh pihak istana tradisi.

​Surat bantahan berkenaan sebelum ini turut diserahkan secara salinan kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara, Menteri Besar Negeri Sembilan, Peguam Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Penasihat Undang-Undang Negeri, dan Ketua Polis Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles