MCMC Nafi Terlibat Aktiviti Dalam laporan Anthropic

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan terkini diterbitkan Anthropic.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum laporan berkenaan dan memandang serius perkara yang dibangkitkan.

“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat MCMC.

“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan selain akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak-pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar dan memahami konteks isu yang dibangkitkan.

Menurut suruhanjaya itu, sebarang tindakan susulan yang bersesuaian akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh serta mengikut bidang kuasanya.

Ia termasuk kemungkinan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan sekiranya diperlukan.

“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Anthropic yang antara lain membangkitkan mengenai satu operasi pengaruh berkaitan Malaysia serta dakwaan bahawa pihak yang terlibat pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan pengawal selia komunikasi negara.

Dalam laporan berkenaan, Anthropic menyatakan ia tidak menemui bukti bahawa usaha mendapatkan kontrak tersebut berjaya.

BBerkaitan

Latest articles