KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendirian terbaharu 12 negara Barat terhadap penempatan haram Israel sebagai perkembangan positif yang perlu diterjemahkan kepada tindakan lebih tegas.
Anwar berkata, kenyataan bersama menteri luar negara terbabit menunjukkan perubahan pendekatan yang sudah lama dinantikan, namun pengaruh besar dimiliki negara-negara berkenaan perlu digunakan untuk memastikan Israel menghentikan peluasan penempatan dan pemindahan paksa rakyat Palestin.
Katanya, tekanan diplomatik dan ekonomi juga perlu disertai usaha memastikan pihak bertanggungjawab terhadap kemusnahan di Gaza dikenakan tindakan, selain menjamin bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
“Saya secara khusus mengambil maklum bahawa Britain, Kanada dan Perancis akan memperkenalkan langkah untuk menyekat perdagangan barangan dari kawasan penempatan haram Israel, sekali gus menyertai beberapa negara Eropah yang telah mengambil tindakan sedemikian,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menyambut baik kenyataan Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband di Dewan Rakyat negara itu yang menurutnya memperlihatkan pendirian lebih jelas berhubung status pendudukan Israel.
Anwar berkata, pengiktirafan United Kingdom terhadap ketidakabsahan pendudukan Israel serta pengakuan mengenai berlakunya pembersihan etnik di beberapa kawasan di Tebing Barat merupakan perkembangan penting berasaskan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Ini adalah pengiktirafan penting yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan realiti yang dihadapi oleh rakyat Palestin,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menyeru masyarakat antarabangsa supaya tidak berhenti pada tahap kenyataan semata-mata, sebaliknya mengambil langkah konkrit dan mengikat bagi memastikan undang-undang antarabangsa dihormati.
Beliau berkata tindakan lebih berkesan juga diperlukan bagi melindungi hak rakyat Palestin serta membuka jalan kepada pembentukan keamanan yang adil dan berkekalan di Asia Barat.
Kenyataan bersama itu melibatkan Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Ireland, Norway, Poland, Portugal, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.
Kesemua negara berkenaan menyatakan hasrat untuk memperkenalkan sekatan di peringkat kebangsaan dan/atau menyokong sekatan Eropah terhadap perdagangan barangan dari penempatan haram di sisi undang-undang antarabangsa.
Sebahagian negara terbabit juga sedang menilai secara aktif langkah berkenaan serta tindakan lain mengikut prosedur domestik masing-masing.










