KUALA LUMPUR: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik balik rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dikenakan terhadapnya atas dua sabitan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down dikenali Bella, tiga tahun lalu.
Peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah yang mewakili Siti Bainun, 32, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, pihaknya menerima arahan anak guam untuk menarik permohonan pelaksanaan dan hukuman yang difailkan di mahkamah sama pada 6 Jun lalu.
“Kami mendapat arahan daripada anak guam untuk menarik balik permohonan dan akan memfokuskan kes di Mahkamah Rayuan kelak,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang kemudian membenarkan permohonan Siti Bainun yang dikecualikan kehadiran di mahkamah hari ini.
Pada 2 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas menolak rayuan wanita berkenaan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.
Terdahulu pada 23 Mei 2023, pengasas Rumah Bonda berkenaan kekal dipenjara selepas gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu atas kesalahan sama.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, menolak permohonan itu selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.
Selain hukuman penjara, Mahkamah Sesyen turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Dia diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Siti Bainun disabitkan mengabai dan menganiaya mangsa berusia 13 tahun ketika kejadian itu sehingga cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, pada Februari hingga Jun 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. Bagi pertuduhan pertama, dia dihukum penjara 10 tahun, manakala pertuduhan kedua dikenakan hukuman penjara 12 tahun.
Selain hukuman penjara yang diperintah berjalan serentak dari tarikh sabitan, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.