Singapura Tersepit Dalam Skandal Cip Nvidia – Laporan

KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang, mencetuskan tekanan terhadap Singapura susulan kebimbangan negara itu mungkin menjadi laluan perdagangan cip kecerdasan buatan (AI) berteknologi tinggi ke China.

Laporan BBC bertajuk ‘How the Jensen Huang scandal created a headache for business-friendly Singapore’ mendedahkan skandal berkenaan turut menimbulkan persoalan terhadap reputasi Singapura sebagai hab perniagaan antarabangsa yang terbuka dan mesra pelabur.

Singapura yang sekian lama mengekalkan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China kini berdepan cabaran untuk mengimbangi kepentingan kedua-dua kuasa ekonomi itu, khususnya dalam industri semikonduktor.

Kontroversi itu turut dikaitkan dengan Alice Huang, seorang eksekutif yang pernah mengetuai syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, Megaspeed.

Syarikat berkenaan menjadi perhatian pihak berkuasa susulan siasatan berkaitan kemungkinan pelanggaran sekatan eksport cip AI buatan AS ke China.

Laporan itu menyatakan Singapura merupakan pusat pengebilan kedua terbesar Nvidia di dunia pada tahun lalu, menyumbang hampir satu perlima daripada hasil syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, kurang daripada satu peratus cip yang direkodkan melalui pengebilan di Singapura sebenarnya memasuki negara itu kerana sebahagian besar urus niaga membabitkan pesanan syarikat dari negara Asia lain yang menggunakan Singapura sebagai pusat perdagangan.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan Washington bahawa negara ketiga, termasuk Singapura, boleh digunakan syarikat China untuk mendapatkan akses kepada cip AI canggih Nvidia yang tertakluk kepada sekatan eksport Amerika.

Sejak 2022, AS mengenakan kawalan eksport terhadap semikonduktor berteknologi tinggi bagi menghalang syarikat China daripada mendapatkan cip tertentu yang boleh digunakan untuk pembangunan teknologi ketenteraan dan AI.

BBC melaporkan, pihak berkuasa Singapura mula menyiasat Megaspeed dan beberapa syarikat lain sejak Februari 2025 berhubung kemungkinan membuat pengisytiharan palsu berkaitan pembelian serta eksport pelayan pusat data.

Syarikat terbabit dilaporkan mengisytiharkan peralatan berkenaan akan dihantar ke Malaysia, namun pihak berkuasa mengesyaki destinasi sebenar peralatan itu mungkin berbeza.

Singapura turut memaklumkan bahawa pihaknya beberapa kali mendapatkan bantuan pihak berkuasa AS untuk memperoleh maklumat daripada Supermicro, sebuah syarikat berpangkalan di AS yang difahamkan membekalkan pelayan komputer kepada Megaspeed.

Bagaimanapun, kerajaan Singapura berkata pihaknya setakat ini hanya menerima maklumat dan kerjasama yang terhad walaupun beberapa permintaan rasmi telah dikemukakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Alice Huang turut disiasat pihak berkuasa Singapura berhubung kemungkinan penglibatannya dalam kes pengisytiharan palsu membabitkan Megaspeed.

Siasatan mendapati bukti tidak mencukupi untuk mendakwanya atas kesalahan berkenaan, namun pihak berkuasa mendapati beliau memberikan maklumat tidak tepat bagi memperkecilkan peranannya dalam syarikat itu.

Singapura kemudian mengeluarkan amaran keras terhadapnya dan melarang beliau memasuki semula negara berkenaan selepas meninggalkannya pada Februari lalu.

Bagaimanapun, siasatan terhadap Megaspeed dan beberapa pihak lain masih diteruskan.

BBC turut menjelaskan bahawa kontroversi berkenaan memperlihatkan cabaran lebih besar terhadap dasar ekonomi terbuka Singapura, khususnya ketika persaingan teknologi antara AS dan China semakin memuncak.

Pensyarah politik dan pengajian antarabangsa Universiti Teknologi Nanyang, Dylan Loh, berkata Singapura sebelum ini berjaya menikmati hubungan baik dengan kedua-dua negara kuasa besar itu.

Namun, beliau berpandangan keseimbangan tersebut kini semakin sukar dikekalkan berikutan pertikaian berkaitan perdagangan cip.

Penganalisis politik Singapura, Chong Ja Ian pula berkata, Beijing mungkin mempersoalkan tindakan Singapura menyiasat perkara yang berkaitan dengan sekatan eksport AS, manakala Washington berkemungkinan melihat kenyataan kerajaan Singapura sebagai usaha meletakkan tanggungjawab kepada pihaknya.

“Singapura telah menetapkan pendirian dasar untuk tidak memihak kepada mana-mana pihak. Namun, dengan tidak memilih pihak, mereka berisiko dilihat bersubahat dengan agenda salah satu pihak,” katanya.

Sementara itu, Penolong Profesor di Institut Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Benjamin Ho, menyifatkan keadaan itu sebagai risiko yang perlu dihadapi sebuah ekonomi terbuka.

“Ini harga yang perlu ditanggung oleh sebuah ekonomi terbuka, anda akan terperangkap di tengah-tengah apabila keadaan menjadi keruh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles