KAJANG: Pergerakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar kediamannya hari ini turut melibatkan pemeriksaan kesihatan, sesi kaunseling dan pengajian al-Quran, selain menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang.
Jabatan Penjara dalam kenyataan memaklumkan, Najib menghadiri temu janji pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik.
Beliau kemudian ke Penjara Kajang untuk mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain menjalani sesi kaunseling dengan pegawai psikologi.
Menurut jabatan itu, pergerakan Najib bermula pada jam 10.25 pagi sebelum semua urusan berkenaan selesai pada hari sama.
“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau telah dibawa pulang dari Penjara Kajang pada jam 5.50 petang dan sampai ke rumah di Jalan Langgak Duta pada jam 6.25 petang,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara turut menegaskan bahawa setiap pergerakan Najib dilaksanakan mengikut urusan dan keperluan yang ditetapkan, selain tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP), syarat tahanan rumah serta kawalan dan seliaan pihak berkuasa berkenaan.
Penjelasan itu menyusul laporan media mengenai pergerakan Najib di luar kediamannya hari ini.
Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah pada Selasa lalu.
Hukuman berkenaan dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.










