SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam pembunuhan ibunya yang dipercayai dijerut hingga mati di sebuah rumah di Banting, Kuala Langat, semalam.
Ketua Polis Kuala Langat, Mohd Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 1 tengah hari.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan cara dijerut sebelum polis menahan anak lelakinya bagi membantu siasatan.
Menurutnya, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berhampiran.










