MERLIMAU: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini diharapkan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus mengulangi pencapaian parti itu dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, isu yang dimainkan parti lawan sepanjang tempoh berkempen tidak semestinya memberi kesan besar terhadap pertimbangan pengundi ketika membuat pilihan.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, pagi ini.
Akmal tiba di pusat pengundian kira-kira jam 8.40 pagi bersama isteri dan ahli keluarganya sebelum selesai membuang undi 10 minit kemudian.
Mengulas suasana kempen kali ini, beliau berpandangan persaingan berlangsung dalam keadaan lebih terkawal dan tenang berbanding PRN Melaka 2021 yang diadakan ketika negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19.
Pada pilihan raya negeri sebelum ini, BN menguasai 21 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Dalam PRN kali ini, Akmal yang mempertahankan kerusi DUN Merlimau berdepan saingan satu lawan satu dengan calon PH, Rahayu Hamzah.










