Simbah Asid: Wanita Warga Emas Mengaku Bersalah

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah dalam kejadian simbah asid kepada seorang lelaki di lif sebuah pangsapuri di Batu Caves pada minggu lalu.

Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Saira Abdullah, 62, itu bermula dari tarikh tangkapannya iaitu pada 9 Julai 2023.

Hakim Majistret Chai Guan Hock membuat ketetapan sedemikian selepas warga emas yang berjubah biru berpelitup muka itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan sabitan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Saira didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan cecair kimia terhadap Inam Ullah, 34, di lif Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana di Batu Caves sekitar 1.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Pendakwaan hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail.

Terdahulu, Izleen memohon hukuman ringan mengambil kira kondisi kesihatan mental dan fizikal anak guamnya.

“Tertuduh sebelum ini pernah berkahwin dan kemudian mendapati suaminya mempunyai hubungan sulit. Beliau sangat tertekan dengan apa yang telah berlaku dengan suaminya dan kini dalam proses penceraian.

“Beliau telah mengambil langkah positif dengan mendapatkan rawatan depression di Hospital Selayang dan diberikan ubat selain menghidap penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan hipertensi.

“Dalam kejadian ini, tertuduh mendakwa dia diprovokasi mangsa yang mahu berkawan walaupun sudah berkahwin. Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan tertuduh amat menyesali perbuatannya,” kata Izleen dalam hujahan pembelaannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes dan kecederaan yang dialami mangsa disimbah asid.

Mengikut fakta kes, anak tiri perempuan kepada Inam yang mengadu mengenai kejadian itu dimaklumkan mangsa disimbah cecair kimia di lokasi kejadian.

Inam didapati melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan selepas dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan.

Dalam prosiding sama, Saira tidak mengaku bersalah atas pertuduhan sama iaitu mendatangkan kecederaan ke atas isteri Inam, Jamila Sabda, 60, di lokasi, tarikh dan waktu sama dan pertuduhan dibacakan mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh dibenar diikat jamin RM4,000 dan mahkamah menetapkan 12 September depan bagi sebutan semula kes.

Minggu lalu, media melaporkan sepasang suami isteri yang juga pengusaha kedai roti naan disimbah asid semasa memasuki lif bersama anaknya di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.

Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup dan kemudian tular di media sosial memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.

BBerkaitan

Latest articles