PASIR GUDANG: Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin mendakwa wujud gerakan tersusun oleh pihak tertentu yang didakwa cuba menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menggugat kestabilan politik negara.
Beliau berkata, gerakan itu didorong oleh pihak yang terlalu ghairah mengejar kuasa sehingga sanggup mewujudkan ketidaktentuan politik demi memenuhi kepentingan sendiri.
Menurutnya, usaha tersebut timbul apabila pihak berkenaan semakin bimbang dengan prestasi serta momentum positif yang dipamerkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar.
“Hari ini kita melihat ada usaha yang jelas untuk menjatuhkan Perdana Menteri yang kita sayangi. Beliau telah bekerja keras membawa masuk pelaburan, mengukuhkan ekonomi serta meningkatkan nilai ringgit.
“Mereka sebenarnya sudah mula takut. Jika Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri, PAS tidak akan mempunyai peluang, manakala satu lagi pihak pula berasa terancam kerana mahu merampas semula jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Grand Finale Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang, malam tadi.
Tze Tzin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa terdapat pihak yang sedang merancang untuk mencetuskan ketidakstabilan politik secara berperingkat, bermula di Johor sebelum diperluaskan ke beberapa negeri lain.
Menurutnya, rancangan itu didakwa bermula di Johor pada Julai, diikuti Negeri Sembilan pada Ogos, Melaka sekitar September atau Oktober, sebelum beralih ke Sarawak menjelang penghujung tahun.
“Ini adalah permulaan yang berbahaya. Kita tidak boleh membiarkan muslihat politik serta agenda tamak kuasa ini berjaya merosakkan negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan pencapaian ekonomi negara di bawah pentadbiran Anwar yang disifatkannya sebagai antara faktor utama keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Katanya, negara berjaya merekodkan pelaburan berjumlah RM1.14 trilion sepanjang tiga tahun berturut-turut dari 2023 hingga 2025, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam sejarah.
Tze Zin berkata, keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan politik dan kepimpinan negara turut menyumbang kepada rekod eksport RM3.06 trilion serta penurunan kadar pengangguran ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun.
“Anak-anak muda kini menikmati lebih banyak peluang pekerjaan berbanding sebelum ini. Jangan biarkan kestabilan ekonomi yang sedang dibina dimusnahkan oleh mereka yang gilakan kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Tze Tzin menyeru pengundi supaya memberi sokongan bagi mempertahankan kestabilan politik dan menolak sebarang usaha yang didakwanya boleh menjejaskan masa depan negara.










