Sheikh Umar: “Itu Saya, Saya Mohon Maaf, Akan Bayar Saman”

JOHOR BAHRU: Calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali, tampil mengakui kesilapannya menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar ketika hari penamaan calon, sekali gus memohon maaf kepada orang ramai dan bersedia dikenakan tindakan undang-undang.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu mengesahkan individu dalam gambar yang tular di media sosial adalah dirinya.

“Itu saya. Saya mohon maaf kerana menaiki motosikal tanpa topi keledar pada pagi penamaan calon di pekan Paloh. Saya akan bayar saman,” katanya.

Sheikh Umar yang mempertahankan kerusi Paloh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini berkata demikian susulan gambar beliau membonceng motosikal tanpa topi keledar mencetuskan perhatian di media sosial.

Sementara itu, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, turut memohon maaf atas kegagalan calon parti itu mematuhi peraturan jalan raya dan menegaskan DAP menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu mengambil tindakan tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik individu yang melakukan kesalahan.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua calon, anggota jentera kempen, penyokong serta sukarelawan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh berkempen.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan menegur jentera kempen Pakatan Harapan (PH) dan DAP selepas terdapat insiden pelanggaran undang-undang jalan raya ketika berkempen.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan beliau tidak akan melindungi mana-mana individu, termasuk ahli partinya sendiri, dan telah mengarahkan JPJ mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.

Katanya, pematuhan terhadap undang-undang jalan raya mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa mengira ideologi politik atau kedudukan seseorang.

BBerkaitan

Latest articles