KUALA LUMPUR – Dakwaan sebuah hotel milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di London dibeli pada harga £160 juta sebelum dicadangkan untuk dijual pada £100 juta kini menimbulkan persoalan selepas bekas Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil mempertikaikan angka berkenaan.
Ahmad Shabery berkata, berdasarkan pengetahuannya sepanjang menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu, tiada satu pun daripada empat hartanah milik agensi itu di London dibeli secara individu pada harga £160 juta, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aset sebenar yang dirujuk.
Malah, beliau menegaskan sepanjang tempohnya sebagai Pengerusi Felda, tiada permohonan untuk menjual mana-mana hotel milik agensi berkenaan di London dikemukakan kepadanya.
“Tidak ada satu pun permohonan menjual hotel Felda di London telah dibuat semasa saya berada di Felda. Tak tahulah kalau selepas saya meninggalkan Felda pada akhir Jun lalu.
“Lagi pun Felda ada empat aset hartanah di sana, dua hotel dan dua penempatan pelajar,” katanya.
Menurut Ahmad Shabery, perincian mengenai setiap hartanah berkenaan perlu didedahkan dengan jelas supaya nilai sebuah aset tidak bercampur atau disalah anggap sebagai nilai keseluruhan portfolio Felda di London.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan kemungkinan maklumat yang sampai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu tidak tepat atau tidak lengkap.
“Saya bimbang PM disalah nasihat atau ada yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Kenyataan itu sekali gus membuka persoalan mengenai dari mana angka pembelian £160 juta (kira-kira RM883.7 juta) diperoleh dan hotel Felda yang sebenarnya dirujuk dalam cadangan penjualan tersebut.
Ia juga menimbulkan persoalan mengenai bila cadangan penjualan pada harga £100 juta (kira-kira RM552.3 juta) itu dibuat serta pihak yang mengemukakannya, memandangkan Ahmad Shabery mendakwa tiada permohonan seumpama itu sepanjang beliau menerajui Felda sehingga akhir Jun lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery menjelaskan proses pelupusan aset Felda bukan semata-mata keputusan pengurusan agensi berkenaan, sebaliknya melibatkan proses kerajaan termasuk Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri.
“Menjual aset adalah arahan dari atas, Kementerian Kewangan dan Jawatankuasa Penasihat kepada Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah langkah standard kerajaan,” katanya.
Semalam, Anwar berkata beliau enggan menandatangani dokumen kelulusan penjualan sebuah hotel milik Felda selepas mendapati aset itu dicadangkan untuk dijual pada harga £100 juta, sedangkan harga pembeliannya dinyatakan sebanyak £160 juta.
Perbezaan tersebut membabitkan kira-kira £60 juta atau lebih RM330 juta berdasarkan angka yang dinyatakan.
Anwar kemudiannya mengarahkan pengurusan Felda menyediakan laporan lengkap mengenai cadangan penjualan berkenaan untuk penelitian lanjut.
Bagaimanapun, kenyataan terbaru Ahmad Shabery meletakkan perhatian kepada satu persoalan asas yang perlu diperjelaskan terlebih dahulu — hotel manakah yang dimaksudkan dan apakah asas kepada angka pembelian £160 juta itu?
Penjelasan terperinci Felda mengenai identiti aset, harga pembelian asal, nilai semasa serta kronologi cadangan penjualannya kini penting bagi menentukan sama ada angka yang dikemukakan merujuk kepada sebuah hotel secara individu atau terdapat kekeliruan membabitkan keseluruhan portfolio hartanah agensi itu di London.










