KUALA LUMPUR: Seruan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bekas pemimpin dan aktivis parti itu kembali ke landasan perjuangan nampaknya tidak cukup meyakinkan bekas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Malah, Wong Chen berpandangan seruan berkenaan bukan ditujukan kepadanya, sebaliknya lebih berkemungkinan ditujukan kepada bekas pemimpin lain termasuk Tian Chua.
Katanya, beliau sendiri masih tertanya-tanya mengenai keputusan menyekat aksesnya kepada peruntukan ketika menjadi Ahli Parlimen Subang, memandangkan sehingga kini tiada penjelasan diberikan kepadanya.
“Apabila dia menyekat akses peruntukan saya, dia tidak pernah memberi apa-apa alasan atau menghubungi saya. Ini berterusan selepas saya meletak jawatan sehingga sekarang.
“Jadi, seruan ini bukan untuk saya. Ia lebih kepada pemimpin terdahulu seperti Tian Chua,” katanya memetik BH hari ini.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR, Sabtu lalu, memohon maaf dan merayu kepada bekas pemimpin serta aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR.
Namun, seperti lazimnya seruan yang bersifat umum, nama siapa yang sebenarnya dimaksudkan tidak pula disebut.
Bagi Wong Chen, persoalannya bukan sekadar siapa yang patut pulang, tetapi apa yang sudah berubah sehingga mereka perlu kembali.
Beliau berkata, Anwar sepatutnya terlebih dahulu membuktikan komitmen terhadap reformasi dalam PKR dan kerajaan sebelum mengajak bekas pemimpin serta aktivis kembali menyokong perjuangan parti.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian, katanya, ialah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, selain dakwaan berkaitan “mafia korporat”.
“Sebenarnya Anwar perlu lakukan reformasi bermula dengan RCI bagi Azam Baki dan mafia korporat. Bila dah buat, baru nampak landasan perjuangan pulih sedikit.
“Nak minta pemimpin-pemimpin lama sokong tanpa reformasi sendiri terlebih dahulu adalah langkah kosong,” katanya.
Kenyataan itu hadir hanya beberapa hari selepas Wong Chen mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), berkuat kuasa 12 Ogos lalu.
Pengumuman berkenaan dibuat Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli, pada sidang media di Ibu Pejabat BERSAMA pada tarikh sama.
Menariknya, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR turut dilaporkan berpandangan seruan Anwar itu bukan ditujukan kepadanya atau Nik Nazmi Nik Ahmad.
Rafizi malah menganggap dirinya masih muda dan tidak pasti sama ada Anwar merujuk kepada beliau dan Nik Nazmi ketika menyebut mengenai “otai-otai” dalam ucapannya.










