Hassan Gesa Ketua Hakim Negara Sahkan Kesahihan Perintah Tahanan Rumah Najib

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh digesa tampil mengesahkan kesahihan dokumen perintah mahkamah yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sekiranya dokumen yang tular itu sah, penjelasan terperinci perlu diberikan berhubung beberapa kecacatan yang didakwa terdapat dalam penyediaannya.

Beliau mempersoalkan penggunaan istilah Discharge Order (perintah pembebasan) berbanding Transfer Order (perintah pemindahan), selain kesilapan nama mahkamah, rujukan perundangan serta penggunaan bahasa yang bercampur-baur.

Menurutnya, perkara itu perlu diteliti memandangkan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu hanya membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, bukannya dibebaskan.

Hassan turut membangkitkan kemungkinan ketidakpatuhan terhadap Seksyen 16 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam prosiding dan dokumen mahkamah.

Beliau menegaskan Ketua Hakim Negara perlu meneliti sendiri dokumen berkenaan serta menjelaskan bagaimana perintah sepenting itu didakwa mengandungi kecuaian sedemikian.

Dokumen bertarikh 6 November itu menyatakan Najib perlu menjalani baki hukuman di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat yang ditetapkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meneliti perintah berkenaan serta mendapatkan perintah baharu yang selaras dengan pengampunan diraja.

AGC sebelum ini turut memohon penangguhan pelaksanaan tahanan rumah sementara menunggu penjelasan mengenai kesan undang-undang perintah itu.

Najib menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya dikurangkan separuh serta denda diturunkan kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja pada Januari 2024.

BBerkaitan

Latest articles