PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menegaskan tidak pernah meluluskan pendaftaran mana-mana pertubuhan Rohingya sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.
JPPM berkata, setiap permohonan pendaftaran pertubuhan perlu melalui proses penelitian dan penilaian berdasarkan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), sebelum keputusan dibuat oleh pendaftar pertubuhan.
Menurutnya, pemohon yang memenuhi syarat asas tidak semestinya diberikan kelulusan secara automatik kerana permohonan tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa.
Antara syarat ditetapkan ialah pertubuhan perlu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ahli, perlembagaan yang lengkap, pemegang jawatan yang sah serta mengemukakan permohonan menerusi sistem eROSES.
JPPM menjelaskan, proses pendaftaran merangkumi pengemukaan permohonan, semakan dokumen dan maklumat serta penilaian mengikut peruntukan undang-undang sebelum keputusan kelulusan dikeluarkan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya merujuk sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat dan tidak menyebarkan dakwaan yang boleh mengelirukan.
Kenyataan itu menyusul selepas seorang pengguna Threads menerusi akaun x_.tw9 membangkitkan persoalan mengenai status Rohingya Society Malaysia (RSM) yang didakwa tidak sah.
Pengguna berkenaan turut mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan polis terhadap pertubuhan itu pada 2020.










