KUALA LUMPUR: Lebih elok untuk PAS mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain setelah suara dan pandangannya sering diketepikan Bersatu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PAS merupakan sebuah parti yang besar dan perlu lebih dominan dalam Perikatan Nasional (PN), sekaligus apa jua pandangan parti itu perlu diterima oleh komponen lain dalam PN.
“Saya difahamkan Presiden Bersatu tidak puas hati dengan kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“PAS ini sebuah parti yang besar dan wujud lebih awal daripada Bersatu.
“Patutnya PAS lebih dominan dan mempunyai kuasa sendiri termasuk kuasa untuk bersuara.
“Tetapi nampak gayanya setiap kali PAS bersuara, mereka sentiasa dikritik Pengerusi PN.
“Jadi saya percaya kalau itulah caranya elok PAS fikir untuk bergabung dengan parti lain,” katanya ketika turun berkempen di Parlimen Titiwangsa, malam tadi.
Hadir sama adalah calon BN kawasan tersebut, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Reaksi itu menyusul berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengatakan parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
Takiyuddin berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat membentuk kerajaan selepas PRU-15 hasil gabungan dengan parti lain, terutamanya BN.
Namun tidak lama kemudian, Takiyuddin menafikan laporan tersebut sambil menegaskan, kenyataannya itu dilaporkan di luar konteks dan pada masa yang sama, tajuk yang digunakan mengelirukan pengundi.
Dalam pada itu Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebarang desas-desus berhubung kemungkinan berlaku rundingan antara BN dan PAS selepas PRU-15 adalah di luar pengetahuannya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa segala keputusan untuk membentuk kerjasama perlu dibuat dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
“Selepas keputusan dibuat kalau ada cadangan gabungan kita akan bawa di dalam MKT UMNO.
“Seperti yang saya katakan gabungan dengan parti apa pun, mesti diputuskan oleh MKT UMNO,” katanya lagi.