Selepas Vincent, Sanusi Bakal Berdepan Saman Oleh Amirudin Pula

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan peguam dari pihaknya bakal mengemukakan tuntutan undang-undang terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan fitnah projek pembersihan Sungai Klang.

Ujarnya, surat saman akan dihantar secepat mungkin terhadap Menteri Besar Kedah berkenaan.

Semalam Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Muhammad Sanusi berikutan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dikeluarkan Menteri Besar Kedah itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Dalam pada itu Amirudin memberi amaran kepada Muhammad Sanusi tidak melarikan diri atau mengelak daripada menerima surat saman Vincent yang juga Pengasas Kumpulan Berjaya.

“Mutakhir ini, kita lihat mereka lebih galak untuk menabur fitnah dan kitar semula cerita serta dakwaaan yang sebahagiaan itu telahpun dijawab di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,.

“Sebagai contoh SMG telah dijawab dengan berulang kali dalam rekod dua kali oleh YB Izham berkenaaan proses, dengan pelbagai tuduhan dilakukan termasuk keupayaan syarikat dan juga skandal.

“Sebab itu saya akan mengemukan surat saman tuntutan mereka terlibat. Insya-Allah peguam saya sedang teliti, sama ada esok dan paling lewat Khamis ini mereka akan terima dan diharap mereka tidak larilah selepas terima surat saman itu,” katanya di sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak, hari ini.

Berjaya Land Berhad, menerusi kenyataan semalam merujuk dakwaan-dakwaan Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, minggu lalu bahawa wujud skandal antara Amirudin dengan Vincent untuk melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Kononnya Vincent bakal memperoleh tanah 600 hektar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri kitra-kira RM180 juta.

Mengulas fitnah itu lagi, Amirudin menyifatkan kesemua tuduhan yang dilemparkan pembangkang adalah tidak berasas, selain sebenarnya pihak itu sedang terdesak untuk meraih undi pada pecutan akhir Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Sama ada isu Hutan Bukit Langong dan 600 ekar tanah percuma paling tiada asas. Semalam timbul pula isu serahan elaun, sedangkan satu sen pun tidak diterima.

“Paling besar pun saya dapat karipap dalam mesyuarat, itu pun mungkin mereka anggap sebagai rasuah, agaknya,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles