KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, hari ini mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta untuk kembali menyertai UMNO.
Alwiyah yang juga Ketua BERSATU Bahagian Mersing berkata, keputusan drastik itu dibuat atas kehendak sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak selepas mempertimbangkan masa depan dan kebajikan kawasan diwakilinya.
Katanya, tindakan melepaskan semua jawatan dalam parti berkenaan juga dilihat sebagai langkah terbaik demi kelangsungan pembangunan dan memperkukuh penyatuan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
”Setelah mengambil kira beberapa aspek, demi kebaikan dan masa depan DUN Endau, saya telah membuat keputusan untuk mengumumkan keluar daripada parti BERSATU dan meletakkan segala jawatan saya dalam parti berkuat kuasa serta-merta serta kembali bersama UMNO.
”Saya percaya tindakan ini dibuat antara lain demi kelangsungan dan masa depan yang lebih baik, selain terus memperkukuh aspek penyatuan bagi DUN Endau,” katanya dalan sidang media di sini, hari ini.
Alwiyah bagaimanapun menegaskan, keputusan meninggalkan parti itu tidak akan menjejaskan komitmennya untuk terus berkhidmat dan membela kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pengundi dan semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang tempohnya berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak tahun 2018.
Untuk rekod, Alwiyah memenangi kerusi DUN Endau buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Barisan Nasional (BN-UMNO).
Bagaimanapun, beliau bersama beberapa ADUN Johor bertindak keluar daripada UMNO untuk menyertai BERSATU pada Mei 2018.
Beliau kemudian berjaya mempertahankan kerusi berkenaan di bawah tiket Perikatan Nasional (PN-BERSATU) dalam saingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun 2022.
Mac lalu, Alwiyah baru sahaja menerima watikah pelantikan rasmi sebagai Ketua BERSATU Bahagian Mersing daripada Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Johor, Samsudin Ismail.










