SEREMBAN: Kemelut politik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Aminuddin mengumumkan DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan berkuat kuasa 5 Jun 2026 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri selepas situasi politik yang tidak menentu, termasuk percubaan menjatuhkan kerajaan negeri dan perubahan pendirian beberapa pihak berhubung sokongan terhadap pentadbiran sedia
“Kita lihat keadaan politik yang berlaku. Sekejap ada yang kata sokong, sekejap tidak sokong. Pada mulanya ada usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri. Saya rasa keadaan seperti ini tidak sesuai dan sebab itu saya serahkan semula kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri ini,” katanya pada sidang media malam ini.
Beliau berkata, notis pembubaran akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan tarikh-tarikh penting PRN ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, Aminuddin memaklumkan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai kata sepakat berhubung agihan kerusi untuk bertanding di semua 36 kerusi DUN, manakala perincian pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah akan diumumkan minggu depan.










