SEREMBAN: Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan semakin hangat apabila sumber politik mendakwa pengumuman rasmi mengenainya mungkin dibuat seawal esok atau selewat-lewatnya Isnin depan.
Lebih menarik perhatian, tular di media sosial dakwaan bahawa satu sidang media khas berkaitan pembubaran DUN Negeri Sembilan akan diadakan pada jam 11 malam ini.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan negeri berhubung dakwaan tersebut.
Perkembangan itu menyebabkan bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dirasai apabila parti-parti politik dikatakan sudah mula menggerakkan persiapan bagi menghadapi kemungkinan pembubaran DUN dalam masa terdekat.
Sumber yang mengikuti rapat situasi politik negeri itu berkata, pelbagai persediaan sedang dilakukan termasuk penyusunan jentera, penilaian kekuatan kerusi serta perbincangan mengenai calon yang bakal diketengahkan.
“Ramai menjangkakan pengumuman penting akan dibuat dalam tempoh terdekat. Sebab itu gerak kerja pilihan raya sudah mula kelihatan di peringkat akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya.
Difahamkan, UMNO Negeri Sembilan turut mengadakan pertemuan khas melibatkan pimpinan parti bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan petang tadi bagi membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera menghadapi kemungkinan pilihan raya mengejut.
Menurut sumber, langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan seluruh jentera parti berada dalam keadaan bersedia sekiranya pembubaran DUN diumumkan dalam masa terdekat.
“Bukan UMNO sahaja yang membuat persediaan. Parti-parti lain juga dilihat mula menyusun strategi masing-masing kerana tiada siapa mahu terperangkap dengan keputusan saat akhir,” katanya.
Beliau turut mendedahkan terdapat pandangan dalam kalangan pemain politik bahawa tempoh sekarang dianggap sesuai untuk mendapatkan mandat baharu rakyat walaupun pentadbiran kerajaan negeri hasil PRN 2023 baru memasuki tahun ketiga.
Selain itu, prestasi kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan beberapa isu tempatan yang dibangkitkan rakyat dikatakan menjadi antara topik utama perbincangan menjelang kemungkinan berlangsungnya pilihan raya negeri.
Difahamkan beberapa kerusi yang kini dikuasai PH turut menjadi perhatian berikutan dakwaan berlaku perubahan sentimen pengundi berbanding pilihan raya lalu.
Namun begitu, sumber berkenaan mengingatkan bahawa sebarang ramalan mengenai keputusan pilihan raya masih terlalu awal kerana banyak faktor boleh berubah selepas calon diumumkan dan kempen bermula.
Beliau turut berpandangan bahawa rasa tidak puas hati terhadap PH tidak semestinya akan diterjemahkan kepada sokongan automatik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN), memandangkan sebahagian pengundi masih menilai kredibiliti calon serta rekod perkhidmatan mereka.
Setakat ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun belum mengeluarkan sebarang jemputan rasmi bagi sidang media berkaitan pembubaran DUN.
Menurut sumber politik itu lagi, dua tarikh yang paling banyak diperkatakan ketika ini ialah Jumaat dan Isnin depan.
“Jika tiada pengumuman dibuat esok, ramai menjangkakan Isnin akan menjadi tarikh penentu. Itulah yang sedang hangat dibincangkan dalam kalangan pemerhati dan pemain politik,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan segala spekulasi yang beredar ketika ini masih tertakluk kepada keputusan serta pengumuman rasmi kerajaan negeri.










