Selepas Persiapan Rapi, PAS, PN Akan Jadi Kerajaan Pusat PRU16 Nanti

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa partinya bersama rakan gabungan Perikatan Nasional (PN) mampu menjadi kerajaan pusat pada PRU15 yang lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagaimanapun mendakwa hasrat itu terpaksa ditangguhkam terlebih dahulu kerana mereka sedang membuat persiapan lebih rapi.

Mohd Amar berkata demikian di hadapan lebih 500 perwakilan di perhimpunan agung sayap ulama PAS ke-62, sempena hari kedua Muktamar PAS yang berlangsung di Shah Alam, hari gari ini.

“Pada PRU15 sepatutnya PAS dan PN sudah boleh menerajui kerajaan namun ditangguhkan sementara bagi membolehkan persiapan dibuat lebih rapi,” katanya.

Ujar Mohd Amar, partinya kini memberi tumpuan kepada peperangan PRU16, sambil membayangkan pertembungan politik ketika ini hanya antara PN dengan DAP.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan itu kemudiannya mendakwa pengaruh parti-parti lain di dalam kerajaan hari ini semakin menurun.

“Ramai yakin pada PRU16 akan menjadi masa terbaik kepada PAS dan PN untuk kembali menerajui pentadbiran negara,” kata Amar.

Beliau maklum perasaan kecewa apabila PN tidak menjadi kerajaaan pada PRU lalu, namun mengingatkan perwakilan bahawa PAS kini dalam keadaan yang “terlalu hampir dengan kuasa”.

“Saya yakin pada PRU akan datang nanti, kita akan jadi kerajaan yang kukuh di Putrajaya. Kita sepatutnya menang pada PRU lepas, tetapi ada hikmah yang tersembunyi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Amar menyeru sayap ulama PAS supaya terus mendalami dan menguasai ilmu bagi mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap mereka hanya tahu bercakap soal halal dan haram.

BBerkaitan

Latest articles