KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa, disahkan kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa yang digerakkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perkembangan itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut mengesahkan penyertaan semula bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, sekali gus menambah senarai tokoh politik yang kembali bernaung di bawah parti tersebut.
Mustapa merupakan antara pemimpin veteran UMNO yang meninggalkan parti pada 2018 selepas lebih 40 tahun bersama perjuangan itu.
Ketika membuat keputusan berkenaan, beliau menjelaskan hala tuju UMNO pada waktu tersebut tidak lagi seiring dengan prinsip dan pendiriannya.
Selepas meninggalkan UMNO, Tok Pa menyertai Bersatu dan memainkan peranan penting dalam kerajaan Perikatan Nasional.
Bagaimanapun, beliau mengumumkan peletakan jawatan daripada keahlian serta semua jawatan dalam Bersatu pada 30 September 2023.
Tok Pa yang pernah berkhidmat sebagai menteri di beberapa kementerian utama juga tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam perkembangan sama, Asyraf memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Rumah Bangsa terus menunjukkan peningkatan apabila jumlah pendaftaran ahli baharu serta kemasukan semula bekas pemimpin dan ahli UMNO, termasuk daripada Bersatu di seluruh negara, mencecah 21,858 orang.
Menurutnya, angka tersebut direkodkan sejak sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian dibuka pada 20 April lalu.
“Moga Allah memberkati dan merahmati Rumah Bangsa ini yang telah banyak berjasa dalam mencorakkan serta memartabatkan agama, bangsa dan tanah air sepanjang lapan dekad perjuangannya,” katanya.










