Selepas Disamun, Ibu Lima Anak Dirogol Kemudian Dibunuh

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kebun wanita ditemui maut, dipercayai dibunuh dengan kejam selepas dirogol dan disamun dalam satu kejadian di Lahad Datu, Sabah semalam.

Harian Metro melaporkan, mayat wanita warga asing yang berusia 36 tahun itu ditemui dalam keadaan separuh bogel di satu kawasan semak berhampiran kebun pisang di Kampung Pisang pada jam 8.15 pagi.

Ketua Polis Lahad Datu Rohan Shah Ahmad berkata, mayat ibu kepada lima anak itu ditemui oleh ahli keluarga mangsa kira-kira 600 meter dari rumahnya.

Katanya, ahli keluarga keluar mencari mangsa selepas majikan wanita berkenaan memberitahu mangsa tidak datang bekerja pada hari kejadian.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan separuh bogel dengan kesan kelar di leher, selain luka di bahagian kepala akibat hentakan objek tumpul.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol berdasarkan kesan air mani yang ditemukan pada bahagian kemaluannya,” katanya yang menambah telefon bimbit dan wang tunai di dalam dompet mangsa juga didapati hilang.

Rohan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut.

“Polis masih berusaha mengesan suspek dalam kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles