KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin DAP Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mencadangkan penternak babi di Selangor memfailkan semakan kehakiman susulan larangan terhadap aktiviti penternakan babi yang dititahkan Sultan Selangor.
Menurut beliau, mahkamah perlu diberi ruang menentukan sama ada hak penternak dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan, selain menegaskan sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan Perlembagaan.
Ronnie mendakwa, walaupun Sultan mempunyai kuasa penting dalam pentadbiran negeri, titah diraja tetap perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri serta keputusan mahkamah.
Beliau turut menjelaskan kerajaan negeri menjalankan pentadbiran melalui Menteri Besar dan Exco, manakala Sultan bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri dan Persekutuan, kecuali dalam beberapa bidang kuasa tertentu seperti pelantikan Menteri Besar, hal ehwal Islam dan pembubaran DUN.
“Kami tidak mengharapkan sesiapa untuk menyatakan “ya” atau “tidak” kepada penternakan babi di negeri ini. Kita biarkan mahkamah menjadi hakim kita.
“Umum maklum…di Selangor, Sultan mempunyai kuasa Perlembagaan yang penting, namun titah Sultan secara amnya tidak mengatasi undang-undang atau Perlembagaan.
“Di bawah sistem Raja Berperlembagaan Malaysia, Kerajaan Selangor menjalankan pentadbiran negeri melalui Menteri Besar dan Exco.
“Sultan bertindak mengikut Perlembagaan Negeri Selangor dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Dalam kebanyakan perkara, Sultan bertindak atas nasihat kerajaan negeri. Terdapat beberapa bidang di mana Sultan mempunyai kuasa budi bicara, seperti pelantikan Menteri Besar; perkara berkaitan agama Islam di negeri tersebut; adat resam Melayu juga persetujuan untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Ronnie dalam hantaran di Facebook beliau.
Dalam masa sama, Ronnie mendakwa penternak babi kini berada dalam keadaan keliru dan buntu susulan kenyataan tegas pihak istana berhubung isu berkenaan.
Katanya, kontroversi itu juga menjadi ujian kepada kepimpinan DAP dan Pakatan Harapan di Selangor serta Putrajaya kerana rakyat sedang menilai bagaimana isu tersebut ditangani.










