​’Saya Tak Iktiraf’ – Rodziah Musykil Wujud Penyelaras Di Kawasan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menegaskan beliau tidak mengiktiraf kewujudan penyelaras kawasan yang dilantik di kawasannya, sambil menyifatkan tindakan mewujudkan jawatan itu di kawasan pentadbiran Kerajaan Perpaduan sebagai sesuatu yang mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, sejak hujung Mei lalu, pihaknya menerima pelbagai permohonan bantuan daripada rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang secara keseluruhannya mencecah hampir RM100,000, tidak termasuk permohonan bantuan komputer riba dan keperluan operasi harian.

“Saya dimaklumkan ada pihak menyatakan sudah wujud penyelaras dan apabila ada penyelaras, rakyat boleh memohon bantuan melaluinya. Bagi saya, perkara ini boleh mengelirukan rakyat.

“Saya tidak mengiktiraf penyelaras tersebut. Pada pandangan saya, penyelaras selalunya wujud di kawasan tempat kita bukan kerajaan.

“Jadi, kenapa ia diwujudkan di kawasan kerajaan (yang dimenangi Kerajaan Perpaduan), saya sendiri tidak faham,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Isu pelantikan penyelaras di Parlimen Ampang sebelum ini menarik perhatian apabila Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dinamakan bagi menggalas tanggungjawab menyelaras pembangunan serta kebajikan di kawasan berkenaan.

Langkah itu dipercayai bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Persekutuan berjalan lancar, namun ia menimbulkan kekeliruan berhubung peranan sebenar Ahli Parlimen terpilih.

Mengulas lanjut, Rodziah mempersoalkan tindakan pimpinan berhubung kedudukannya ketika ini sekiranya ada pertimbangan atau pandangan berbeza di peringkat atas.

“Kalau saya salah, kalau ada perkara yang saya lakukan tidak betul, kalau saya dianggap membangkang kerajaan dan sebagainya, maka saya ingin tahu apa keputusannya dan apa tindakan sebenarnya terhadap saya? Inilah ketidakadilan yang berlaku.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu. Bila seseorang itu berkuasa, mungkin dia mempunyai pelbagai pertimbangan dan fikirannya sendiri,” jelas beliau.

Isu membabitkan peruntukan kawasan ini turut menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menegaskan bahawa penstrukturan semula atau penyaluran peruntukan kewangan adalah bertujuan terus untuk kesejahteraan rakyat dan bukannya peruntukan peribadi untuk kegunaan Ahli Parlimen semata-mata.

Membalas perkara tersebut, Rodziah berkata fokus utamanya kini adalah untuk menyelesaikan lambakan permohonan rakyat yang masih menanti bantuan, meskipun terpaksa menggunakan ikhtiar sendiri.

“Mungkin usaha yang saya lakukan ini tidaklah besar sangat dari sudut nilai kewangannya, tetapi saya tidak mahu hanya meminta tanpa menyumbangkan apa-apa tenaga. Sebab itu saya akan cuba buat yang terbaik, insya-Allah.

“Dan kalau ramai lagi yang merasakan usaha ini membantu rakyat, saya rasa wajar untuk kita sama-sama memberikan sedikit sumbangan daripada rakyat untuk membantu rakyat. Kalau kerajaan tak mahu bantu kita, maka kita sama-samalah membantu,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles