KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, selesai memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman selama kira-kira dua jam berhubung dua laporan polis yang difailkan secara berasingan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan pertama berkaitan kenyataannya ketika ceramah di Selayang pada 20 Oktober lalu mengenai dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, serta isu mafia korporat.
Satu lagi siasatan pula menyentuh isu pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang dibangkitkan pada Mac lalu.
Menurut Rafizi, kes berkaitan ceramah di Selayang itu disiasat mengikut Seksyen 500 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, laporan berhubung isu pemilikan saham Azam disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau menyifatkan proses memberi keterangan berjalan lancar, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara yang disiasat.
“Saya memang tak boleh nak ulas secara terperinci siasatan kerana bila sudah diambil keterangan, maka itu dah jadi bahan bukti dan juga bahan keterangan oleh pasukan penyiasat,” katanya ketika ditemui di luar Bukit Aman.
Rafizi tiba di ibu pejabat polis itu pada kira-kira 10.57 pagi dengan diiringi tiga peguamnya, Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.
Beliau kemudian meninggalkan Bukit Aman pada 1.05 tengah hari.










