Anwar Gesa Projek RTB RM700 Juta Selangor Dipercepat, Atasi Banjir Berulang Di Kampung Melayu Subang

SUNGAI BULOH: Kerajaan tidak boleh terus berlengah dalam pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Selangor apabila Kampung Melayu Subang berulang kali dilanda banjir, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendesak kerja-kerja berkaitan dipercepatkan segera.

Anwar berkata, projek tebatan banjir membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM700 juta sudah diluluskan, namun perkembangan pelaksanaannya perlu dipantau bagi memastikan kawasan berisiko tinggi mendapat perlindungan sewajarnya.

Beliau menegaskan, kerja seperti pelebaran sungai, pembinaan kolam takungan tambahan serta pengorekan sungai yang kontraknya sudah dimuktamadkan perlu diberi keutamaan.

“Saya bimbang kerana sudah dua tiga kali berlaku banjir. Jadi, perlu ada pelebaran sungai dan kolam tambahan.

“Projek tebatan banjir yang keseluruhannya berjumlah RM700 juta sudah diluluskan, cuma bagaimana kita hendak mempercepatkannya,” katanya.

Anwar berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, akan mendapatkan perkembangan projek di bawah kerajaan negeri menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Jumaat.

Beliau pula akan meminta laporan terkini bagi projek RTB di bawah kerajaan Persekutuan pada hari sama.

Anwar berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang, hari ini.

Turut hadir Amirudin, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Izuan Kasim.

Sementara itu, Ramanan berkata, kira-kira 550 rumah terjejas akibat banjir kilat yang berlaku semalam, dengan kejadian itu menjadi insiden keempat dalam tempoh 30 hari.

Beliau menganggarkan seramai 1,500 penduduk terkesan, manakala projek RTB di kawasan berkenaan kini mencapai kemajuan 34 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029.

Bagi mengurangkan risiko banjir sementara menunggu projek utama disiapkan, kerajaan turut mengarahkan pembinaan kolam takungan sementara bernilai RM12 juta.

“Kolam takungan ini boleh menahan air, bukan menghentikan banjir sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan kejadian banjir,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, pasukan respons pantas pusat khidmatnya sudah memulakan kerja pembersihan rumah penduduk serta menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa sejak semalam.

Bantuan tambahan berupa peralatan rumah turut disediakan dengan keutamaan diberikan kepada barangan keperluan berbanding bantuan tunai.

BBerkaitan

Latest articles