Mahkamah Batal Saman Keluarga Daim, Dua Peguam Halang Siasatan Komplot Jatuhkan Kerajaan

KUALA LUMPUR: Usaha keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan dua peguam untuk menghalang siasatan polis berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan berakhir apabila Mahkamah Tinggi membatalkan saman mereka.

Hakim Indra Nehru Savandiah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu selepas mendapati plaintif gagal mengemukakan kausa tindakan yang munasabah.

Dalam penghakiman ringkasnya, beliau turut menegaskan tiada bukti kukuh menyokong dakwaan bahawa siasatan polis dijalankan dengan niat tidak baik.

Katanya, dakwaan bahawa kenyataan terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengaruhi siasatan polis hanya bersifat spekulasi dan tidak disokong fakta.

Saman itu difailkan oleh balu Daim, Toh Puan Naimah Khalid, dua anak lelaki mereka, Amir dan Amin, serta peguam Amir Zharif Abdullah dan Nizamuddin Hamid terhadap Anwar, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail dan kerajaan.

Mereka antara lain mencabar dakwaan penyalahgunaan kuasa serta mahu menghentikan tuduhan yang disifatkan sebagai palsu berhubung komplot Zionis untuk menggulingkan kerajaan.

Siasatan polis berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen.

Mahkamah memaklumkan alasan penghakiman penuh akan dikeluarkan sekiranya rayuan difailkan, manakala tiada perintah kos dikenakan terhadap mana-mana pihak.

Terdahulu, Khalid mengesahkan Bukit Aman menyiasat dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara susulan laporan polis mengenai penglibatan seorang tokoh berpengaruh tempatan dengan sebuah organisasi media antarabangsa.

Bagaimanapun, Nizamuddin menafikan dakwaan terbabit dan menyifatkannya sebagai pembohongan, selain mengesahkan nama beliau serta rakan kongsi firma guamannya, Amir Zharif, disebut dalam laporan polis berhubung pertemuan dengan Naimah.

BBerkaitan

Latest articles