KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memilih untuk tidak mengulas lanjut berhubung tindakan anak guamnya, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang menarik balik beberapa permohonan penting di mahkamah.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shafee berulang kali menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk menjelaskan keputusan tersebut.
“Ada perkara di luar pengetahuan saya. Saya tidak boleh mengulas… petikan yang betul ialah, saya tidak boleh komen,” katanya ringkas.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk memberikan penjelasan lanjut pada masa akan datang.
Terdahulu, dilaporkan Najib telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bagi kes SRC International.
Notis penarikan balik itu difailkan oleh firma guamannya, Messrs Shafee & Co, pada 3 April lalu.
Selain itu, Najib turut difahamkan membatalkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Salleh.
Perkembangan tersebut telah dimaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Alice Loke menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara secara tahanan rumah.
Dalam penghakimannya, beliau menjelaskan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hanya membincangkan soal pengurangan hukuman dan kemungkinan pengampunan penuh, tanpa menyentuh isu tahanan rumah.
Menurutnya, keputusan yang dipengerusikan oleh Sultan Ibrahim ketika itu hanya melibatkan pengurangan hukuman penjara serta denda.
Sementara itu, pada 26 Disember, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.387 bilion terhadap Najib selepas didapati bersalah dalam kes berkaitan dana 1MDB.
Mahkamah memutuskan bahawa Najib bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya antara 2011 hingga 2014.
Kesemua hukuman penjara berjalan serentak, dengan tambahan perintah bayaran pemulihan sebanyak RM2.08 bilion.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 15 tahun itu bermula pada 2028, selepas Najib selesai menjalani hukuman enam tahun bagi kes SRC International.










