KUALA LUMPUR: Krisis politik di Negeri Sembilan semakin memuncak apabila seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO daripada Barisan Nasional (BN) mengumumkan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas perkembangan tersebut, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya akan terlebih dahulu merujuk perkara itu kepada Pengerusi BN bagi mendapatkan gambaran penuh sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Saya akan rujuk perkara ini kepada Pengerusi BN dan mendapatkan perincian lanjut,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan keputusan drastik itu dicapai secara sebulat suara oleh kesemua ADUN terlibat susulan krisis dalaman yang didakwa berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri.
Menurut beliau, situasi semasa bukan sahaja memberi tekanan kepada pentadbiran kerajaan negeri, malah boleh menggugat kestabilan serta kesejahteraan rakyat jika tidak ditangani dengan segera.
“Krisis ini dilihat mampu menjejaskan perjalanan pentadbiran negeri dan memberi kesan kepada keyakinan rakyat,” katanya dalam sidang media khas.
Tambahnya, kepimpinan negeri perlu bertindak lebih bijaksana dan proaktif dalam menangani kemelut berkenaan agar kepercayaan rakyat tidak terus terhakis.
Sehubungan itu, kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan mengambil pendirian tegas dengan menarik sokongan serta mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika ini.










