KUALA LUMPUR,— Lorong-lorong di pusat bandar Kuala Lumpur bakal berubah wajah apabila program seni digital, Warung TERANG, membawa pengalaman visual dan bunyi yang interaktif kepada orang ramai dari 8 hingga 17 Mei ini.
Inisiatif yang dibangunkan oleh Filamen itu menampilkan enam karya seni berasaskan projection mapping yang bergerak merentasi beberapa lokasi utama termasuk Jalan Tun H.S. Lee, Jalan Sang Guna, Muzium Telekom serta River of Life.
Berbeza dengan pendekatan konvensional yang tertumpu pada bangunan berskala besar, Warung TERANG memperkenalkan pengalaman seni yang lebih dekat dengan orang ramai melalui format bergerak dan interaktif, sekali gus membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan karya dan artis.
Program ini turut mendapat sokongan Think City dan merupakan sebahagian daripada KL Fest, festival bandar yang berlangsung sepanjang Mei dengan pelbagai aktiviti budaya dan kreatif.
Mengangkat tema “pasar”, Warung TERANG diinspirasikan daripada suasana pasar Asia Tenggara yang bukan sekadar tempat jual beli, tetapi ruang pertemuan idea, cerita dan interaksi sosial.
Sepanjang dua hujung minggu penganjuran, program ini menggabungkan bengkel siang hari dan aktiviti malam, termasuk platform terbuka REAVANG yang memberi ruang kepada artis bereksperimen dengan visual dan bunyi secara langsung dalam persekitaran bandar.
Menurut Pengasas Bersama Filamen, Abdul Shakir, konsep ini bertujuan merapatkan jurang antara seni digital dan masyarakat.
“Dengan Warung TERANG, kami mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi menjadi sebahagian daripada pengalaman meneroka semula ruang bandar dan mencipta kenangan baharu,” katanya.
Penyertaan Artis Serantau
Edisi sulung ini menampilkan barisan artis dari Malaysia dan Indonesia, antaranya Fairuz Sulaiman dari Sekolah Main Wayang, kolektif visual Fonetikar, artis multimedia Tan Ji Kean, serta kumpulan The Fox, The Folks, Story of Karana dan Hue.
Karya yang dipersembahkan menggabungkan elemen cerita harian dan pengalaman masyarakat, diterjemahkan melalui cahaya, visual dan audio dalam suasana bandar yang hidup.
KL Fest 2026 dijangka menampilkan lebih 80 acara dengan lebih 700 jam pengisian program, kebanyakannya percuma kepada umum. Festival ini dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta sokongan Kementerian Kewangan dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Selain memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar kreatif, inisiatif seperti Warung TERANG juga bertujuan menghidupkan semula kawasan bandar yang kurang aktif pada waktu malam, sekali gus menarik kehadiran orang ramai ke ruang-ruang awam yang sebelum ini terpinggir.
Warung TERANG terbuka secara percuma kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.










